Khamis, 19 November 2009

Kenyataan Media : Angkatan Muda Keadilan

18 November 2009

MEMPERCEPATKAN PERLAKSANAAN AGENDA REFORMASI

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyeru agar ketiga-tiga parti dalam Pakatan Pakyat bersatu-padu untuk melaksanakan dasar perubahan dan agenda reformasi. Usaha ini penting untuk mengelakkan Barisan Nasional merampas semula 2/3 majoriti dalam kerusi parlimen pada PRU Ke-13.

Pakatan Rakyat mesti meneliti secara serius tentang keputusan kajian selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre. Keputusan tersebut boleh dijadikan satu tanda peringatan untuk kesepakatan Pakatan Rakyat dalam memperkukuhkan sokongan rakyat dan sekaligus mewujudkan sistem dua-parti di Malaysia.

Mengikut statistik kajian selidik tersebut, sokongan kaum India terhadap BN telah meningkat secara mendadak dari 35% ke 55%. Manakala masyarakat Melayu pula menaik sedikit sebanyak 4% iaitu dari 53% ke 57%. Sekiranya parlimen dibubarkan sekarang, Pakatan Rakyat akan hilang 20 hingga 30 kerusi dan menjadi jumlah kerusi dalam parlimen tinggal 50 hingga 60 kerusi.

Walaupun keputusan tersebut hanya sekadar rujukan tetapi sudah mencukupi untuk mengingatkan wakil rakyat yang tidak mempunyai prestasi yang memuaskan. Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi amaran kepada mereka yang tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang memuaskan. Sekiranya mereka masih tidak berubah, maka kemungkinan besar akan digugur pada PRU Ke-13.

AMK berpendapat bahawa setiap lapisan pimpinan Pakatan Rakyat harus memainkan peranan yang lebih proaktif untuk mendapat sokongan daripada rakyat. Hanya dengan semangat reformasi yang mengutamakan rakyat, menyelesaikan masalah rakyat, barulah boleh menyakinkan rakyat terhadap keupayaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN dalam menerajui kerajaan Persekutuan.

Walaupun 52 tahun BN yang penuh dengan rasuah dan penyelewangan telah ditolak dengan tsunami politik 8 Mac, tetapi asas untuk sistem dua parti di Malaysia masih tidak kukuh. Malahan pelbagai tekanan serta sekatan yang dikenakan oleh BN telah membantut proses demokrasi khasnya sistem dua-parti.

Oleh itu, AMK berbangga dengan pencapaian kerajaan PR dalam 20 bulan yang lepas. Namun masih terdapat ruang untuk diperbaiki serta mempercepatkan agenda reformasi serta proses demokrasi untuk menjadi model negeri kepada negeri lain.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Rabu, 4 November 2009

PERKETAT PEMILIHAN CALON WAKIL RAKYAT

Kuala Lumpur - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memperketat proses pemilihan calon wakil rakyat dalam menghadapi pilihanraya akan datang supaya mereka yang tidak konsisten dengan parti tidak dipilih. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan terdapat segelintir wakil rakyat PKR tidak berkhidmat kepada rakyat dengan baik.
Menurutnya, dalam pilihanraya akan datang, katanya, parti perlu memperhalus proses pemilihan calon yang akan bertanding di atas tiket PKR dan calon tersebut mestilah mempunyai rekod yang baik dan berkelayakan. "Saya tidak menafikan ada di kalangan wakil rakyat PKR tidak memberi khidmat dengan baik dan ada yang sudah melompat. Ini merupakan kesilapan parti memilih calon dahulu.
"Kita perlu perbaiki sistem pemilihan calon supaya dapat memastikan wakil rakyat yang dilantik dapat menjalankan tugas mereka dengan baik. Sejak Pilihanraya Umum Mac lalu, beberapa wakil rakyat pembangkang telah keluar dari parti. Yang terbaru ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah.
Anwar berkata, beliau menemui Badrul Hisham 7 bulan lalu dan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadanya setelah terdapat laporan beliau tidak menjalankan tugas dengan baik. menurutnya, beliau tidak menafikan bahawa Badrul Hisham juga tidak hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) . "Jangankan sidang DUN, saya sendiri datang ke kawasan beliau pun tidak muncul. Saya tidak nafikan bahawa beliau tidak menunjukkan prestasi yang sewajarnya,"katanya.

Isnin, 2 November 2009

Resolusi Konvensyen Pakatan Rakyat Perak.

IPOH : Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang telah bersidang pada 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430 telah merumuskan resolusi berikut :-

i. Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

ii. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

iii. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

iv. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

v. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

vi. Meneruskan prinsip 5K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

vii. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

viii. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

ix. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan Allah swt sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

x. Jawatankuasa resolusi mencadangkan agar gagasan Pakatan Rakyat disegerakan pendaftaran diperingkat nasional dengan penggunaan 1 logo.