Isnin, 3 Ogos 2009

PR KOMITED PERJUANG DASAR BAIK NEGARA

Bukan jaga kepentingan Anwar seperti dilaungkan propagandis

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merasa bangga dan yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat (PR) yang baru disertainya 40 hari lalu kerana komitmen dan inisiatif PR dalam memperjuangkan dasar baik negara. Beliau berkata, PR bukanlah gabungan yang menjaga kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dilaungkan propagandis UMNO tetapi satu parti yang mempunyai hubungan kuat antara parti dan berbeza dengan UMNO yang hanya menjaga kepentingan pemimpin besar.Menurutnya, apa yang dilihat sepanjang penglibatannya dalam PR ialah keinginan ahli-ahli Keadilan, PAS dan DAP yang mahu melihat Pakatan menjadi kerajaan sebagai parti alternatif kepada Barisan Nasional (BN)."Walaupun akhbar UMNO telah berjaya membesar-besarkan masalah kecil dalam Pakatan namun pemimpin dan ahli PR berjaya bersatu mengatasi permasalahan tersebut.
"Ramai pengkritik menuduh PR tidak ada dasar konkrit dan tidak ada dasar bersama yang kononya ideologi berbeza, namun golongan skeptik atau penimbul keraguan ini termasuk sesetengah profesor dan akademik sebenarnya sedar tentang kekuatan PR," katanya kepada Sinar Harian. Zaid berkata, walaupun ada di antara ahli PR yang pernah ditahan di bawah ISA namun mereka masih kental memperjuangkan suara rakyat."Sebelum itu UMNO sibuk memecahbelahkan PAS sehingga hampir berjaya dalam pilihanraya kecil di Manek Urai. UMNO dan BN sebenarnya takut sehingga membuat strategi memecahbelahkan PR," katanya.Bagaimanapun Zaid mengakui PR masih ada kelemahan memandangkan usia yang baru 18 bulan.
Beliau berkata, PR sedang berusaha mendaftarkan diri sebagai badan politik dalam mewujudkan perkongsian perjuangan parti-parti politik secara rasmi."Semua ahli parti Pakatan sudah bersedia berkhidmat kepada rakyat atas nama PR, malah rakyat ramai sudah menjadi ahli. Inilah yang amat digeruni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan BN," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan