Selasa, 6 Oktober 2009

JANGAN BERSANDAR KEPADA BN YANG RAPUH

oleh : Halik Zaman

KONSEP ikatan dalam Barisan Nasional (BN) di antara semua kaum, Melayu, Cina India dan lain-lain kaum di Malaysia, luarannya nampak begitu teguh, kukuh dan kuat sekali. Ketua-ketua kaum dalam BN nampak bersatu teguh. Ahli-ahli komponen BN seperti MCA, MIC dan PBS pucuk kepimpinan parti masing-masing mempunyai permasalahan dalaman yang tersendiri yang begitu serius sekali. Kepimpinan MCA di peringkat Pusat begiu bercelaru, berkocak dihempas badai bergelombang perebutan kuasa. MCA menghadapi penyakit krisis kepimpinan yang parah, terlalu mencemaskan sekali, skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang menjolok mata dan skandal seks paling memalukan, yang melibatkan timbalan presidennya.
MIC pula kepimpinannya Samy Vellu terlalu angkuh kendatipun tidak punya 'political base' di kawasan pilihanraya di seluruh Malaysia. Tidak ada satu kawasan pilihanraya pun yang kaum india mempunyai suara majoriti tanpa bersandar dai sokongan pengundi Melayu. Tanpa Barisan Nasional, MIC merupakan parti yang lemah dalam politik Malaysia. Dalam BN UMNO menjadi tunggaknya, kerana UMNO punya dasar Ketuanan Melayu, maka MIC yang tidak ada Political base itu tidak punya kedudukan yang baik.
Untuk mendapat kembali sokongan dari akar umbi kaum India para pemimpin MIC disaran mengkaji semula kedudukannya dalam BN. Satu perkara penting para pemimpin MIC perlu fikirkan bahawa presidennya Samy Vellu di mata pemimpin UMNO sudah tidak ada 'value' lagi. Ini sungguh memalukan. Parti Bersatu Sabah (PBS) pula bukanlah sebuah parti politik yang kuat di Sabah, kerana PBS kini sudah berpecah kepada tiga kumpulan iaitu PBS, UPKO dan PBRS yang mulanya semua bersatu dalam PBS. Dalam PBS sekarang pun sudah ada tanda-tanda perpecahan.
PBS sekarang ini pengaruhnya cuma bergantung kepada ketokohan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Sampai berapa lama Joseph boleh hidup? Sedang beliau kini sudah pun dimakan tua. Timbalanya pula, Datuk Dr. Maximus Ongkili ternyata cuma bersandar kepopularitiannya kepada ketokohan Joseph sahaja. Bila kita sudah faham senario politik rakan-rakan UMNO dalam BN seperti di atas, semua orang pun sudah faham kekuatan UMNO hanya bersandar kepada rakan-rankanya dalam Barisan Nasional yang kini sedang nazak.
Di mana sahaja kawasan pilihanraya yang UMNO mempunyai kekuatan 60 peratus pengundi Islam maka kawasan-kawasan tersebut kini sudah menjadi kawasan yang sudah tidak selamat lagi bagi UMNO dalam PRU 13 lantaran sayap kanan dan kirinya sudah tidak berfungsi lagi. mana tidaknya, sokongan akar umbi sudah hancur musnah dan punah. Diperingkat akar umbi MCA, MIC, Gerakan dan PPP, konsep BN sudah mula dipertikaikan. Mereka pertikaikan Ketuanan Melayu, hak orang Islam dan Bumiputera dalam BN masih ada lagi jurang perbezaan yang jauh.
Seolah-olah ahli MCA, MIC, Gerakan dan PPP yang bertaraf warganegara Malaysia itu punya kelas dua dalam negara Malaysia. pada hal tanpa undi warganegara Malaysia, UMNO tidak dapat menubuhkan Kerajaan Pusat bersendirian. Dalam Bn yang nyata dilihat oleh ahli-ahli akar umbi MCA, MIC, Gerakan dan PPP cuma ketua-ketua kaum sahaja yang bersatu. Akar umbi pengundi bawahan terus dilamun ilusi janji pilihanraya sahaja. Tanpa para pengundi, ketua-ketua kaum itu tidak boleh berperanan.
Ahli-ahli MCA, MIC, Gerakan dan PPP majoriti sudah hilang kepercayaan kepada BN maka pemimpin UMNO juga sakit kepala dengan pengundi Melayu yang sudah berpecah terbahagi tiga UMNO, PAS dan KEADILAN. Perpecahan pengundi melayu dalam UMNO akan menguntungkan Pakatan Rakyat kalau dikawasan tersebut calon KEADILAN atau PAS lawan UMNO 'satu lawan satu' tanpa ada sokongan undi pos kepada UMNO.
Kerana para pemimpin UMNO sudah sedar hakikat ini akan berlaku, maka Dato Seri Mohd Najib Razak pun main peranan 'demi Islam', demi Melayu, kita mesti bersatu dalam sebuah Kerajaan Perpaduan. Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, "cakap sahaja apa-apa syarat kami setuju, asalkan Kerajaan Perpaduan segera diwujudkan." Para pemimpin UMNO jangan ghairah dengan adanya undi pos berjumlah 5,000 di PRK Bagan Pinang.
Kalau kalah Bn satu tamparan hebat kepada Najib dan Muhyiddin dan kalau menang pun BN itu cuma kekuatan undi pos yang tidak punya nilai di mata rakyat Malaysia. Tunggul pun boleh menang kalau disokong sejumlah 5,000 undi pos. -SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan