-KENYATAAN MEDIA-
Persidangan Dewan 2 September adalah sah dan mengikut perlembagaan. Tindakan UMNO/BN dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri menggunakan Polis menghalang Adun-Adun Pakatan Rakyat menghadiri sidang dewan untuk menjalankan tugas amat dikesali. Polis secara kasar dan salah telah menghalang dan menangkap Yb. Dato Ngeh Koo Ham, Yb. Chan Ming Kai dan Yb. Keshvinder singh tanpa alasan yang kukuh.
Tindakan menghalang Adun-Adun daripada menjalankan tugas mereka adalah kesalahan yang amat serius dan berat. Lebih memalukan kehadiran kumpulan samseng berbaju kuning yang dipercayai dibawa oleh UMNO yang turut berkumpul secara haram dan mengganggu perjalanan Adun-Adun PR ke sidang dewan. Mereka bersorak dan bertempik mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar.
Polis bersikap ‘double standard’ dengan membiarkan kumpulan samseng itu berhimpun secara haram tetapi bersikap ganas dan menangkap kumpulan Adun-Adun yang hendak pergi bersidang. UMNO/BN memperkudakan segala instrumen-instrumen kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat dan sistem demokrasi seperti Polis, SPR, SPRM, Kehakiman dan Pegawai Kerajaan bagi menjalankan kerja-kerja kotor mereka.
Kita juga kesal disaat PM melaungkan slogan 1 Malaysia “rakyat didahulukan” tetapi dalam masa yang sama memainkan isu perkauman dan cuba mengheret institusi istana ke kancah politik sempit mereka. Di Selangor mereka menendang kepala lembu, simbol kesucian penganut agama hindu dengan tujuan menghina dan cubaan menimbulkan pergaduhan antara kaum. Hari ini mereka bawa pemuda UMNO yang memakai baju kuning dan tertera tulisan ‘Daulat Tuanku’ dengan tujuan menggambarkan bahawa Adun-Adun PR telah derhaka dan menghina Raja-Raja Melayu.
Angkatan Muda Negeri Perak sekali lagi menegaskan dan menuntut dibubarkan Dun segera. Kerajaan yang sah tidak ditentukan oleh 3 orang Adun yang melompat, rampasan kuasa secara haram, tanpa pilihanraya atau melalui jalan pintu belakang tetapi ia ditentukan oleh satu pilihanraya yang bersih dan adil seperti termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan. Demokrasi yang sebenar harus ditegakkan.
YB. ABD. YUNUS B. JAMHARI
KETUA ANGKATAN MUDA PERAK
ADUN KAWASAN KUALA KURAU