Khamis, 13 Ogos 2009

KENYATAAN MEDIA: MENJAWAB FITNAH ISU PENGKHIANATAN

-KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA-
Petaling Jaya, 11 Ogos 2009
Pimpinan UMNO dan konco-konco mereka memintal propaganda yang memanipulasi simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dengan hasrat agar pemikiran rakyat kembali sempit dan mundur. Ini bukanlah kali pertama saya menjadi sasaran di dalam isu pengkhianatan ini. Mereka telah mencuba puluhan kali sebelumnya. Usaha terbaru dengan menghebahkan isu pengkhianatan ini jelas menjadi petanda mereka kian terdesak.

Saya tidak berhasrat untuk terjebak di dalam pertikaian peribadi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya akan hanya berhujah dari sudut dasar. Perlu saya tekankan pandangan saya dan Pakatan Rakyat jelas walaupun tidak disiarkan oleh media milik UMNO. Kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang ditandatangani oleh YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan saya sendiri pada mesyuarat 8 September 2008, menegaskan komitmen kami menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Kita menyakini mempunyai hujah-hujah yang cerah dan jitu untuk menangani politik kebencian pimpinan UMNO yang memperolok simbol-simbol bangsa, agama dan raja, semata-mata untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa.
Pengkhianatan amanah rakyat oleh pimpinan UMNO berterusan dengan skandal penyelewengan dana awam berbillion ringgit di atas nama komisen pembelian senjata, mengaut saham, kontrak dan lesen yang diperuntukkan untuk bumiputera tetapi dikaut oleh keluarga serta kroni mereka.

Kita juga tidak lupa bahawa pimpinan UMNO-lah yang menghina institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 dan 1993. Malahan mereka menghina Islam dengan memperbanyakkan lesen perjudian serta menggadai gunung dan bukit kepada tauke-tauke judi terbabit. Hatta pentadbiran UMNO sanggup menggadai kepentingan petani dan peraih kecil Melayu dengan menjual saham Bernas kepada syarikat asing.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Dewan Rakyat

UMNO TERGUGAT, TAKUTKAN ANWAR : Dr Jeffrey

"Beliau bukan pengkhianat tetapi penyelamat negara"

SHAH ALAM - Tindakan UMNO Johor untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi melaungkan perkataan 'pengkhianat' terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan betapa takutnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin tertinggi parti itu. Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kedudukan UMNO dilihat semakin tergugat dengan reputasi Anwar yang berjaya mendapat sokongan daripada rakyat.

"Kita dapat lihat semakin lama Anwar semakin mendapat peluang daripada rakyat untuk menyokongnya dan situasi ini menimbulkan ketidakselesaan UMNO-BN. "Kebanyakan penyokong UMNO sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan. Oleh sebab itu mereka menggunakan perhimpunan untuk mengutuk beliau (Anwar) sebagai satu cara menyatakan bahayanya pemimpin tersebut" katanya.

Beliau berkata demikinan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Batu Pahat dalam waktu terdekat bagi melaungkan perkataan 'pengkhianat terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dr Jeffry berkata, UMNO kemungkinan mula menyedari bahawa kehadiran Anwar dalam politik akan menjejaskan kedudukan mereka dalam pembentukan kerajaan yang sedia ada kini.

"Jadi ini cara mereka (UMNO-BN) untuk menutup suara beliau dengan memberi tanggapan negatif terhadapnya. "Anwar bukan pengkhianat tetapi beliau sebenarnya penyelamat negara", katanya. Menyentuh kenyataan Zahid, perhimpunan yang bakal diadakan itu akan mengingatkan kembali Anwar mengenai prinsip yang diperjuangkannya dahulu, menurutnya, dahulu dan sekarang banyak perbezaannya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang relevan suatu ketika dahulu mungkan sudah tidak bersesuaian dalam situasi negara kini. "Cara mengingatkan itu hanya ingatkan beliau pada waktu itu sahaja kerana mereka bersama dalam kumpulan yang sama yang banyak memiskinkan Malaysia, menurunkan daya saing dan memperkaya hanya sebilangan orang berkuasa.

"Saya percaya Anwar lebih sedar terhadap dasar perjuangan dahulu. Saya yakin beliau lebih memperjuangkan untuk mencari keadilan," katanya. Disamping itu, Dr Jeffry menyifatkan Anwar mampu menubuhkan satu sistem kerajaan lebih baik daripada dulu.

Rabu, 12 Ogos 2009

POLEMIK 'PENGKHIANAT MELAYU': Petanda Pilihanraya Umum Bakal Menjelang

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
9 Ogos 2009
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan trend media-media arus perdana yang begitu serius memainkan isu 'Pengkhianat Melayu' mutakhir ini. Pandangan dan komentar pimpinan-pimpinan Umno khususnya disebar luas melalui media-media cetak dan elektronik yang jelas bertujuan untuk memberikan impak negatif ke atas imej Ketua Umum KEADILAN, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat secara umumnya.Berdasarkan kepada analisis trend, AMK yakin dan percaya bahawa strategi ini bertujuan sebagai persediaan Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat. Dan ini juga sebagai persediaan awal bagi kempen Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir yang dijadualkan akan diumum oleh SPR esok, 10 Ogos 2009.
Polemik pengkhianat Melayu ini berterusan dimainkan dengan restu Perdana Menteri Najib yang jelas menggambarkan ketandusan idea kepimpinan beliau untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara gentleman dan terbuka. AMK percaya ini berlaku rentetan beberapa isu mutakhir yang gagal didepani dengan baik oleh kepimpinan Najib termasuklah pendedahan isu skandal penyelewengan PKFZ, isu kematian Teoh Beng Hock dalam siasatan SPRM dan ditambah dengan sambutan luar biasa ke atas Perhimpunan Aman GMI-MANSUH ISA yang diadakan pada 1 Ogos 2009 lepas di mana berjaya mengumpulkan seramai puluhan ribu rakyat.
Label pengkhianat berterusan dicop ke atas batang tubuh Datuk Seri Anwar bertujuan sebagai satu kaedah pembunuhan karakter ke atas imej YB Datuk Seri Anwar, sebagaimana yang dilakukan ke atas imej Tuan Guru Nik Abdul Aziz sempena Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai yang lepas. Tetapi kaedah serangan karakter yang begitu agresif ini pastinya memberikan modal politik yang positif kepada Pakatan Rakyat. Untuk rekod, serangan bertalu-talu terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dimainkan beberapa hari sebelum pilihanraya umum yang lalu di mana ternyata strategi UMNO/BN telah memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat !
Bukanlah sukar untuk mengenal siapa pengkhianat Melayu.
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu?
- Siapakah yang melacur pendidikan negara dengan pelaksanaan PPSMI yang membunuh potensi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
- Siapakah yang menyerahkan tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura dengan bayaran RM350 juta seperti didedahkan oleh hubaya tertentu?
- Siapakah yang menafikan hak masyarakat Melayu di negeri Kelantan dan Terengganu untuk memperolehi royalti petroleum sejak sekian lama?
- Siapakah yang memecat Almarhum Datuk Ishak Baharom yang menggazetkan fatwa pengharaman penyertaan orang Melayu di dalam Pertandingan Ratu Cantik Di Selangor satu ketika dahulu?
- Siapakah yang menyeleweng kuota masyarakat Melayu di dalam pengagihan kontrak-kontrak untuk kroni-kroni mereka semata?
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan Persempadanan Semula kawasan Pilihanraya yang mengecilkan undi Melayu untuk tujuan kepentingan politik mereka?
- Siapa pula yang satu ketika dahulu bermati-matian mahu menggugurkan nama Islam di dalam semua pertubuhan politik dan NGO satu ketika dahulu?
Soalan-soalan ini jika dijawab hanya akan disimpulkan dengan satu jawapan, iaitu Umno. AMK percaya apa yang berlaku kini bukanlah masyarakat Melayu yang berada di persimpangan, sebaliknya Umnolah yang berada di persimpangan: samada berubah ataupun rebah di tangan rakyat. Tidak timbul soal Melayu berpecah, sebaliknya yang berlaku ialah peralihan sokongan masyarakat Melayu daripada Umno kepada Pakatan Rakyat.
AMK menyarankan agar Umno bertaubat daripada memainkan sentimen perkauman yang dahsyat ini. Hakikat menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu tidak mudah lupa dan tidak akan lupa dengan segala penyelewengan dan politik adu-domba tajaan Umno yang kini semakin nazak dan gusar untuk berhadapan dengan rakyat.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
KetuaAngkatan Muda
Keadilan Malaysia

Jumaat, 7 Ogos 2009

WS RENDRA HEMBUS NAFAS TERAKHIR

Penyair terkemuka Indonesia WS Rendra, yang turut berpengaruh di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital di Jakarta malam tadi setelah lebih sebulan dirawat kerana penyakit jantung.Rendra, 74, yang juga dikenali 'Si Burung Merak' meninggal dunia pada 10.15 malam tadi dengan meninggalkan 11 orang anak daripada tiga isteri - dua daripadanya sudah diceraikan, lapor Bernama.Setelah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya Sitoresmi Prabuningrat, beliau menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.Selain sajak-sajaknya, Rendra juga dikenali ramai di Malaysia melalui filem bertema agama yang dilakoninya Al Kautsar pada 1980-an.Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Citayam, Depok dekat Jakarta, lapor agensi berita itu lagi.Lokasi persemadian Rendra ini tidak jauh dari kubur sahabatnya Mbah Surip, penyanyi reggae yang mendadak popular di Indonesia dengan lagu "Tak Gendong" yang meninggal dunia Selasa lepas.Rendra beberapa kali memperoleh anugerah dalam bidang sastera, antaranya Penghargaan Adam Malik pada 1989, SEA Write Award pada 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri pada 2006.Berikut catatan ringkas perjalanan hidup tokoh seniman ini seperti dimuatkan di Wikipedia:Sebagai sasterawanBakat sastera Rendra sudah mulai terlihat ketika ia duduk di bangku sekolah. Saat itu beliau sudah mulai menunjukkan kemampuannya menulis puisi, cerita pendek dan drama untuk pelbagai kegiatan sekolahnya. Bukan hanya menulis, beliau juga boleh berlakon di pentas. Rendra mementaskan beberapa dramanya, terutamanya tampil sebagai pembaca puisi yang sangat berbakat.Pertama kali menerbitkan puisinya di media massa pada 1952 melalui majalah Siasat. Setelah itu, puisi-puisinya terus muncul di majalah waktu itu seperti Kisah, Seni, Basis, Konfrontasi, dan Siasat Baru sehingga dua dekad selepas itu, tahun 1960-an dan tahun 1970-an.Kaki Palsu adalah drama pertamanya, dipentaskan ketika ia di sekolah dan Orang-Orang di Tikungan Jalan pula drama pertamanya yang mendapat penghargaan dan hadiah pertama dari Kantor Wilayah Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan, Yogyakarta. Penghargaan itu membuatnya sangat bersemangat untuk berkarya. Prof A Teeuw dalam bukunya Sastra Indonesia Modern II (1989), berpendapat bahawa dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, Rendra tidak termasuk dalam salah satu angkatan atau kelompok seperti Angkatan 45, Angkatan 60-an, atau Angkatan 70-an. Daripada karya-karyanya, terlihat Rendra mempunyai keperibadian dan kebebasan tersendiri.Karya-karyanya tidak hanya dikenali di republik itu tetapi juga di luar negeri. Banyak karyanya sudah diterjemahkan ke bahasa asing, antaranya bahasa Inggeris, Belanda, Jerman, Jepun dan India.Beliau juga aktif mengikuti festival-festival di luar negeri, antaranya The Rotterdam International Poetry Festival (1971 dan 1979), The Valmiki International Poetry Festival, New Delhi (1985), Berliner Horizonte Festival, Berlin (1985), The First New York Festival Of the Arts (1988), Spoleto Festival, Melbourne, Vagarth World Poetry Festival, Bhopal (1989), World Poetry Festival, Kuala Lumpur (1992), dan Tokyo Festival (1995).Pada 1961, sebaik sahaja pulang dari Amerika Syarikat, Rendra mendirikan kumpulan teater di Yogyakarta tetapi ia terhenti kerana kembali semula ke negara itu. Ketika pulang semula ke Indonesia (1968), budayawan itu membentuk kembali kumpulan dinamakan Bengkel Teater. Bengkel Teater sangat terkenal di Indonesia dan memberi suasana baru dalam kehidupan teater di tanah air dan menjadi pangkalan kegiatan keseniannya.Kontroversi 'Si Burung Merak'Pada usia 24 tahun, Rendra bertemu cinta pertamanya dengan Sunarti Suwandi. Daripada wanita itu yang dikahwininya pada 1959, beliau mendapat lima anak: Teddy Satya Nugraha, Andreas Wahyu Wahyana, Daniel Seta, Samuel Musa dan Klara Sinta.Seorang muridnya Bendoro Raden Ayu Sitoresmi Prabuningrat, puteri berketurunan istana Yogyakarta yang bergiat aktif di Bengkel Teater. Tugas Jeng Sito, begitu panggilan Rendra kepadanya, pada awalnya antara lain menjaga empat anak Rendra-Sunarti tetapi kemudian bertukar cinta.Ditemani Sunarti, Rendra melamar Sito untuk menjadi isteri kedua dan Sito menerimanya. Namun ayah wanita itu tidak mengizinkan anaknya, yang beragama Islam, berkahwin dengan seorang pemuda Katolik tetapi ia tidak menjadi halangan besar bagi Rendra.Seniman itu mengucapkan dua kalimah syahadah pada hari perkawinannya dengan Sito, 12 Ogos 1970, dengan disaksikan dua lagi tokoh sastera republik itu penyair Taufiq Ismail dan pengkritik Ajip Rosidi.Peristiwa itu mengundang reaksi sinis seperti Rendra masuk Islam hanya untuk berpoligami. Menjawabnya, Rendra beralasan bahawa beliau sudah lama tertarik pada Islam, terutama sejak persiapan pementasan Kasidah Barzanji, beberapa bulan sebelum pernikahannya dengan Sito.Beliau juga menjawab dengan lebih tegas: bagi Rendra, Islam memuaskan persoalan pokok yang menghantuinya selama ini tentang kemerdekaan individu sepenuhnya."Saya bisa langsung beribadah kepada Allah tanpa memerlukan pertolongan orang lain. Sehingga saya merasa hak individu saya dihargai," katanya sambil mengutip ayat al-Quran, yang menyatakan bahawa Allah lebih dekat daripada urat leher seseorang.Bergelut dengan kontroversi kehidupan poligaminya, suatu ketika sewaktu melihat seekor burung merak berjalan bersama dua betinanya di sebuah zoo Yogyakarta, Rendra berseru sambil tertawa terbahak-bahak dan dilaporkan berkata "itu Rendra! Itu Rendra!"Sejak itu jolokan 'Si Burung Merak' melekat padanya hingga kini. Bersama Sitoresmi, beliau mendapat empat anak: Yonas Salya, Sarah Drupadi, Naomi Srikandi dan Rachel Saraswati.Tetapi Si Burung Merak tidak puas dengan dua pasangan dan menyunting pula Ken Zuraida, isteri ketiga yang memberinya dua anak: Isaias Sadewa dan Maryam Supraba.Tapi pernikahan itu mencetuskan pergolakan yang berakhir dengan tindakan Rendra menceraikan Sitoresmi pada 1979, dan Sunarti dua tahun kemudian.

Senarai karya Rendra termasuklah drama dan puisi:

Drama

Orang-orang di Tikungan Jalan (1954) Bip Bop Rambaterata (Teater Mini Kata) SEKDA (1977) Selamatan Anak Cucu SulaimanMastodon dan Burung Kondor (1972) Hamlet (terjemahan karya William Shakespeare)Macbeth (terjemahan karya William Shakespeare)Oedipus Sang Raja (terjemahan karya Sophokles) Lisistrata (terjemahan) Odipus di Kolonus (terjemahan karya Sophokles), Antigone (terjemahan karya Sophokles), Kasidah Barzanji Perang Troya Tidak Akan Meletus (terjemahan karya Jean Giraudoux) Panembahan Reso (1986) Kisah Perjuangan Suku Naga

Puisi

Balada Orang-Orang Tercinta (Kumpulan sajak) Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta Blues untuk Bonnie Empat Kumpulan Sajak Jangan Takut Ibu Mencari Bapak Nyanyian Angsa Pamphleten van een Dichter Perjuangan Suku Naga Pesan Pencopet kepada Pacarnya Potret Pembangunan Dalam Puisi Rendra: Ballads and Blues Poem (terjemahan) Rick dari Corona Rumpun Alang-alang Sajak Potret Keluarga Sajak Rajawali Sajak Seonggok Jagung Sajak Seorang Tua tentang Bandung Lautan Api State of Emergency Surat Cinta

Isnin, 3 Ogos 2009

KELUARKAN FATWA MENGENAI ISA

SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Majlis Fatwa perlu mengeluarkan fatwa berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagaimana diminta umat Islam di negara sebelum ini. Beliau berkata, fatwa tersebut hendaklah adil, bebas daripada terikat dengan mana-mana pihak serta dapat dibahaskan secara saksama dengan kehadiran pakar perundangan, pihak berkuasa dan mangsa terlibat. Menurutnya, perbahasan yang hendak diadakan juga mencakupi kehadiran ahli-ahli politik yang bersetuju dan membantah memberikan pandangan berhubung pelaksanaan akta tersebut. "Penilaian adil perlu untuk panduan kerajaan.Malanglah jika isu pinggiran dibincang sedangkan isu besar membabitkan kepentingan umat ditinggalkan."Majlis Fatwa Kebangsaan menggunakan wang awam, maka pastikan faedahnya balik kepada awam secara jelas," katanya dalam satu kenyataan semalam. Sebelum ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan juga Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), masing-masing merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah dan menyokong undang-undang ISA, merancang mengadakan perhimpunan esok walaupun tidak mendapat kelulusan pihak polis.Dr. Asri berkata, mesyuarat Majlis Fatwa yang biasanya berlangsung di hotel-hotel besar perlu mengeluarkan pandangan hebat untuk kemaslahatan umum. Katanya, sebelum ini pelbagai pendapat telah dikeluarkan berhubung akta tersebut dan adalah mustahil Majlis Fatwa tidak peka dengan apa yang berlaku."Saya secara peribadi semasa menjadi mufti telah mengeluarkan pandangan di beberapa tempat."Media tempatan telah berulang kali menyiarkannya. Kali ini kita menuntut pandangan rasmi agensi agama Kerajaan Pusat pula," katanya.

PR KOMITED PERJUANG DASAR BAIK NEGARA

Bukan jaga kepentingan Anwar seperti dilaungkan propagandis

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merasa bangga dan yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat (PR) yang baru disertainya 40 hari lalu kerana komitmen dan inisiatif PR dalam memperjuangkan dasar baik negara. Beliau berkata, PR bukanlah gabungan yang menjaga kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dilaungkan propagandis UMNO tetapi satu parti yang mempunyai hubungan kuat antara parti dan berbeza dengan UMNO yang hanya menjaga kepentingan pemimpin besar.Menurutnya, apa yang dilihat sepanjang penglibatannya dalam PR ialah keinginan ahli-ahli Keadilan, PAS dan DAP yang mahu melihat Pakatan menjadi kerajaan sebagai parti alternatif kepada Barisan Nasional (BN)."Walaupun akhbar UMNO telah berjaya membesar-besarkan masalah kecil dalam Pakatan namun pemimpin dan ahli PR berjaya bersatu mengatasi permasalahan tersebut.
"Ramai pengkritik menuduh PR tidak ada dasar konkrit dan tidak ada dasar bersama yang kononya ideologi berbeza, namun golongan skeptik atau penimbul keraguan ini termasuk sesetengah profesor dan akademik sebenarnya sedar tentang kekuatan PR," katanya kepada Sinar Harian. Zaid berkata, walaupun ada di antara ahli PR yang pernah ditahan di bawah ISA namun mereka masih kental memperjuangkan suara rakyat."Sebelum itu UMNO sibuk memecahbelahkan PAS sehingga hampir berjaya dalam pilihanraya kecil di Manek Urai. UMNO dan BN sebenarnya takut sehingga membuat strategi memecahbelahkan PR," katanya.Bagaimanapun Zaid mengakui PR masih ada kelemahan memandangkan usia yang baru 18 bulan.
Beliau berkata, PR sedang berusaha mendaftarkan diri sebagai badan politik dalam mewujudkan perkongsian perjuangan parti-parti politik secara rasmi."Semua ahli parti Pakatan sudah bersedia berkhidmat kepada rakyat atas nama PR, malah rakyat ramai sudah menjadi ahli. Inilah yang amat digeruni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan BN," katanya.