Isnin, 29 Mac 2010

PENTAS RAKYAT MELAWAN FITNAH DI TANJONG PIANDANG BERSAMA ANWAR

Pentas Rakyat bersama Anwar pada 27 Mac 2010 di Dataran Keadilan Tanjong Piandang mendapat sambutan luarbiasa di mana hampir 10 ribu penyokong Pakatan Rakyat membanjiri dataran berkenaan pada malam tersebut. Hujan yang turun pada awal program tidak mematahkan semangat penyokong dan petugas malahan mereka sedikit pun tidak berganjak dan dengan sabar menunggu ucapan Anwar sehingga selesai. Ribuan penyokong dari kalangan kaum cina dari Pekan Tanjong Piandang dan Kuala Kurau berkumpul di pinggir jalan menyambut ketibaan Anwar seawal 9.30 malam.

Suasana hiruk-pikuk seolah-olah berada seperti di ambang pilihanraya umum di mana penyokong-penyokong bertempik dan bersorak sepanjang masa . Disaat Anwar difitnah, Keadilan diserang dan Pakatan Rakyat cuba dihancurkan, reputasi Anwar sebagai pemimpin ulung Pakatan Rakyat sedikit pun tidak terjejas malahan sokongan yang diterima semakin melimpah-ruah. Program malam itu turut diserikan dengan kehadiran Dato' Seri Nizar, Dato' Ngeh Koo Ham, Haji Mustaffa Kamil Ayub, Ustaz Abu Bakar Husin, YB. Mujahid, YB. Yunus, Tuan Haji Harun b. Hashim dan Pimpinan Pakatan Rakyat lain.

Sehari sebelum itu Menteri Besar Haram Dr. Zambry Kadir yang diberi jolokan oleh kaum cina Tanjong Piandang sebagai "cempedak busuk yang hitam" datang ke Pekan Tanjong Piandang dan Kuala Kurau dalam program penyerahan bantuan nelayan yang diatur oleh pihak UMNO dan agensi kerajaan yang berkaitan. 3 ribu nelayan dari kawasan Kerian dipaksa hadir untuk menerima bantuan berkenaan dan mereka diugut akan dipotong bantuan berkenaan sekiranya tidak hadir.

Nelayan-nelayan naik berang kerana mereka telah diperalatkan oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional bagi meraih sokongan politik secara tidak bermaruah dengan tujuan untuk merampas semula kerusi Dun Kuala Kurau dalam pilihanraya akan datang. Dari tinjauan yang dilakukan program yang dianjurkan oleh pihak berkenaan tidak mendapat sambutan dan seolah-olah diboikot oleh rakyat Dun Kuala Kurau. Mereka benci kepada UMNO-BN dan juga Menteri Besar Haram.




MATC PARIT BUNTAR 2009 BERJALAN LANCAR




Khamis, 4 Mac 2010

PROTES PENGUNDI PARLIMEN BAGAN SERAI TUNTUT HAJI MOHSIN LETAK JAWATAN

Hampir 200 orang pengundi Parlimen Bagan Serai mengadakan protes aman sebentar tadi di hadapan Pejabat Wakil Rakyat Parlimen Bagan Serai menuntut YB. Haji Mohsin meletak jawatan segera. Perarakan bermula sejak 10 pagi dari Pejabat Keadilan Cabang Bagan Serai yang terletak hampir 1 km dari pejabat beliau dan berakhir jam 12 tengah hari. Protes tersebut diketuai oleh Ketua Cabang Bagan Serai Sdr. Mohd Nasib b. Rahin, Adun Selinsing, Adun Kuala Kurau, Adun Titi Serong & Ahli Parlimen Parit Buntar. Protes dimulakan dengan laungan menuntut YB. Haji Mohsin letak jawatan, hidup Pakatan Rakyat dan hancur Haji Mohsin, Najib serta UMNO sambil membawa puluhan poster dan banner. Turut hadir sekumpulan wartawan akhbar dan blogger disamping tidak ketinggalan beberapa orang SB. Beberapa pengundi yang sempat ditemui menyatakan kekesalan atas pengkhianatan yang dilakukan oleh Haji Mohsin, meraka menyatakan dengan tegas bahawa segala makan minum dan elaun yang digunakan oleh beliau atas nama Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan dihalalkan. Sebaik sahaja perhimpunan selesai semua yang hadir membaca doa menurunkan bala kepada Haji Mohsin dan berikrar akan terus berjuang serta bekerja keras memastikan UMNO tetap akan dihumban ke lubang neraka dalam pilihanraya umum yang akan datang.









Rabu, 3 Mac 2010

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN
NEGERI PERAK


AMK MENGUTUK PENGKHIANATAN AHLI PARLIMEN BAGAN SERAI

Berita keluar parti Ahli Parlimen Bagan Serai YB. Hj. Mohsin Fadzli b. Hj. Samsuri dari KEADILAN menyertai kelompok Bebas telah dijangka. AMK mengucap tahniah kepada pihak tertentu kerana membantu KEADILAN membersihkan najis dan sampah sarap yang selama ini mengotorkan imej KEADILAN dan Pakatan Rakyat umumnya.

Prestasi Ahli Parlimen Bagan Serai selama ini telah dipertikaikan sama ada dari pengundi-pengundi sendiri dan juga rakan-rakan pimpinan parti dan Pakatan Rakyat. Imej beliau selama ini diketahui sangat buruk, tidak turun padang, tidak serius, tidak peduli masalah rakyat, bersikap kebudak-budakan, ingkar arahan parti dan melantik pegawai-pegawai yang bertugas hanya dari kalangan anak dan isteri sahaja. Beliau sedikit pun tidak berjasa kepada parti malahan tiada sumbangan langsung yang boleh dibanggakan kepada rakyat di kawasannya.

Alasan keluar parti kerana tidak setuju dengan pendirian parti berkenaan isu ‘Kalimah Allah’ ternyata bohong dan mengelirukan. Sejak bila pula beliau telah menjadi seorang tokoh ulama besar yang membicarakan soal-soal hukum dan akidah umat Islam? Pendirian KEADILAN tentang isu ini adalah selaras dengan pandangan pucuk pimpinan PAS iaitu rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat. Beliau bercakap seolah-olah selama ini telah menjadi tokoh penting dalam parti dan pemergian beliau akan memberi kesan besar kepada parti. AMK menegaskan KEADILAN khususnya di Perak sedikit pun tidak terjejas malahan bertambah kuat dan mantap kerana ‘biawak hidup’ yang dipikul oleh parti selama ini telah tiada.

Kita percaya ini adalah komplot terancang pihak tertentu untuk melemahkan KEADILAN, merosakkan imej Dato’ Seri Anwar dan seterusnya menghancurkan Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia mengetahui bahawa UMNO / BN disaat ini sedang bergelut mencari talian hayat bagi kelangsungan kuasa mereka yang semakin terhakis. Setelah kehilangan kuasa dibeberapa buah negeri, kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, kehilangan sokongan masyarakat cina dan india dalam pilihanraya lalu dan kini mereka terpaksa menjadi bangsat menagih simpati dan sokongan rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Pendedahan skandal demi skandal dari kisah pembunuhan Altantuya, kematian Teoh Beng Hock, rampasan kuasa di Perak, isu PKFZ dan kehilangan enjin jet dan yang terakhir fitnah terhadap DSAI tidak mampu lagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihanraya akan datang. Setelah mereka gagal mengumpan rakyat dengan isu perkauman dan agama mereka tiada pilihan melainkan terpaksa memerangkap, mengugut, mendakwa atau membeli dan merasuah YB Pakatan Rakyat yang diketahui bermasalah dan terpalit dengan isu moral.

AMK Perak sekali lagi menegaskan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada KEADILAN dan kepimpinan Ketua Umum Dato’ Seri Anwar dan kita percaya segala dugaan yang menimpa akan mengangkat lebih tinggi martabat dan maruah Parti Keadilan Rakyat sebagai parti masa depan untuk rakyat Malaysia.



YB. YUNUS B. JAMHARI
KETUA AMK PERAK / ADUN KUALA KURAU

Ikrar Setia Kami kepada Keadilan

3 Mac 2010

Pada 8 Mac 2008, kami dipilih warga Malaysia di kawasan kami yang mengundi untuk sebuah harapan dan perubahan menggantikan kejumudan. Rakyat mahukan politik baru yang menolak desakan perkauman, rasuah dan salah guna kuasa. Objektif yang kami terus usahakan apabila mewakili Parti Keadilan Rakyat ialah untuk membentuk “masyarakat yang adil dan negara yang demokratik, progresif dan bersatu-padu”.

Namun, ada mereka yang berfikir bahawa dengan kemenangan, perjuangan ini sudah tidak perlu diteruskan. Mereka berhenti berkhidmat kepada rakyat sebagaimana yang sepatutnya dan mahu menjadikannya sebagai “masa mengaut hasil rampasan perang”. Apabila ini tidak dapat dilakukan, mereka menuntut ‘pampasan’ dari parti, membuat tuntutan di luar kewajaran demi kepentingan diri mereka sendiri.

Apabila dinafikan, mereka bertindak seakan mengugut dan kini meninggalkan parti. Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas sedangkan semua melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu. Ada yang mahu insiden ini dilihat sebagai perpecahan dalam Pakatan Rakyat, namun ia sebenarnya satu lagi usaha berterusan mereka yang mahu terus berkuasa.

Barisan Nasional menyedari bahawa cara politik usang yang mereka bawa kian tiba ke penghujung. Untuk melengahkan hakikat ini, mereka menggunakan strategi serampang dua mata. Pada satu sudut, mereka cuba menggambarkan bahawa mereka sedang menjuarai perubahan yang kami canangkan. Pada sudut lain, mereka merosakkan kepercayaan rakyat dan memanipulasi jentera kerajaan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat. Pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, serangan perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dan tindakan memperlekehkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin utama PAS di Kelantan dan Malaysia adalah sebahagian contoh jijik yang ada.

Dengan memilih untuk mendokong tindakan jahat ini, mantan pimpinan Keadilan yang bertindak keluar parti ini telah memilih untuk terus memandang ke belakang. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat biasa di Malaysia yang memilih untuk perubahan dua tahun lalu. Tindakan mereka membuktikan bahawa mereka tidak peduli malah sesungguhnya memusuhi masa depan negara dan rakyat.

Mungkin ada yang percaya bahawa ada lagi yang akan mengikuti mereka, tapi kami pimpinan muda dalam Pakatan Rakyat, yang dipilih oleh rakyat, berikrar bahawa kami akan kekal berjuang biarpun berdepan dengan cabaran, pujukan dan penindasan yang ada. Kami tidak akan berpatah balik. Kami mahukan perubahan untuk Malaysia, kami mahu berkhidmat kepada rakyat. Kami akan memenuhi kepercayaan yang diberikan rakyat. Kami tahu bahawa agenda Keadilan yang inklusif dan tidak bersifat perkauman adalah ruang terbaik untuk kami meneruskan agenda membawa negara ke hadapan. Selama ini semua anggota parti mempunyai ruang memberi pandangan terhadap agenda yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat, yang telah disepakati dengan semangat musyawarah.

Pakatan Rakyat telah mencipta sejarah dengan Kerangka Dasar Bersama yang memaparkan persetujuan tulen rakyat Malaysia untuk abad ke-21. Kami akan turun bersama rakyat untuk berbincang dan bertukar fikiran dengan seluruh masyarakat bagi merealisasikan prinsip ini. Berikan kami dokongan juga nasihat dan pandangan. Kami mahu belajar daripada anda, dan bersama anda.
Dengan cara ini, kami berharap dapat menggembeling rakyat yang perihatin untuk menghidupkan semula Perlembagaan dan semangatnya, menyatukan rakyat dan merealisasikan impian yang disebut oleh Bapa Kemerdekaan kita dalam Pemahsyuran Kemerdekaan “…menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”.

Ini adalah impian mereka dan kini kami. Ini adalah impian bersama kita rakyat Malaysia. Kami akan mempertahankan dan menghidupkannya dengan seluruh jiwa dan maruah yang ada.

Kami telah berikrar menyumbang usaha Pakatan Rakyat menyelamatkan negara ini, dan kami akan menunaikannya.