Rabu, 27 Januari 2010

Kenyataan Media : Angkatan Muda Keadilan

22 Januari 2010

Menolak konspirasi BN merampas kuasa di Selangor

Angkatan Muda Keadilan(AMK) Malaysia menyeru agar warga Selangor bersama-sama mempertahankan kuasa pentadbiran Paktan Rakyat di Selangor serta menolak taktik kotor Barisan Nasional untuk merampas kuasa sepertimana berlaku di negeri Perak setahun yang lalu.

Barisan Nasional telah mempergunakan segala jentera kerajaan dan sumber negara untuk menekan kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Tindakan yanf tidak demokratik tersebut jelas bercanggah dengan hasrat rakyat yang memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat pada 8 Mac 2008.

Isu kontroversi kalimah "Allah" dan siri pembakaran dan vandalism di 11 gereja dan 13 tempat beribadat memperlihatkan krisis kepimpinan Barisan Nasional dalam menjaminkan keharmonian masyarakat. Sebaliknya sentimen agama dan perkauman diapi-apikan dengan sewenang-wenangnya untuk mendapat sokongan rakyat.

Tambahan pula dengan ekonomi negara yang merundum, kerajaan Barisan Nasional masih mencadangkan cukai perkhidmatan serta membatalkan subsidi gula. Kesemua ini pasti akan memberatkan lagi beban hidup rakyat.

Oleh itu, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa pegawai khas Exco Kerajaan Selangor Hussein Ahmad sebenarnya merupakan satu taktik bagi mengalihkan fokus masyarakat terhadap kegagalan Barisan Nasional mengurustadbir ekonomi Negara pada masa kini.

Sistem kehakiman terus dipergunakan oleh rejim BN untuk menganiayai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor merangkap Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan ramai lagi pemimpin Pakatan Rakyat.

Penghakiman yang berat sebelah terus wujud dalam kes Kampung Sungai Terentang di mana kepentingan rakyat dikorbankan atas nama pembangunan yang di sebaliknya untuk melindungi kepentingan segelintir mereka yang berhubung rapat dengan pemerintahan BN.

Semua insiden tersebut membuktikan Perdana Menteri Najib Razak masih meneruskan agenda merampas kuasa dengan taktik kotor dan keji, khususnya ke atas negeri Selangor yang merupakan negeri terkaya dalam negara ini. BN sentiasa cuba menghalang dan menekan Pakatan Rakyat Selangor kerana dasar kebajikan di Selangor sememangnya mendapat sokongan baik daripada warga Selangor.

Maka AMK menyeru agar rakyat Selangor tidak terperangkap dalam permainan politik BN yang kotor, sebaliknya bersatu padu mempertahankan agenda perubahan di negara ini dan menegakkan hak rakyat. Rakyat Selangor yang mencintakan demokrasi dan keamanan tidak akan membenarkan episod rampasan kuasa yang berlaku di Perak berulangan di Selangor.

Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
012-2258607