Jumaat, 30 Oktober 2009

SELAMAT BERKONVENSYEN


Konvensyen Pakatan Rakyat Perak esok akan menghimpunkan lebih 600 orang pimpinan utama Pakatan Rakyat di semua peringkat di Perak bertujuan diperkukuhkan lagi ikatan kesetikawanan, memupuk solidariti, memantapkan semangat perjuangan dan menjalin persefahaman.

Pakatan Rakyat Perak sekali lagi mencatat lembaran baru sejarah politik Malaysia dengan kejayaan menganjurkan konvensyen seumpamanya sejak pakatan Rakyat yang juga ditubuhkan di negeri ini.

Pimpinan utama Pakatan Rakyat Pusat akan membentangkan kertas masing-masing yang lebih menjurus ke arah memantap dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Senario politik Perak terkini akan menjadi fokus utama perbincangan.

YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan ucapan penutup konvensyen. Tan Seri Khalid Ibrahim dan YB Lim Guan Eng turut menjadi panel penting dalam program tersebut, manakala YB Dato' Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin akan mengulas senario politik Pakatan Rakyat Perak.

Sebelah malamnya YAB Datuk Tuan Guru akan menyampaikan ceramah perdananya di Chemor.

Rabu, 7 Oktober 2009

KETUA PUTERA UMNO KEMUNGKINAN PUKUL DIRI SENDIRI - YB. Yunus, Ketua AMK Perak

Laporan Ketua Putera UMNO Dato’ Azeez Rahim bahawa beliau cedera dipukul oleh penyokong PR pada hari penamaan calon PRK Bagan Pinang adalah pembohongan dan sandiwara sahaja. Beliau yang selama ini terkenal dengan gimik politik murahan, mengampu dan membodek dan membazir wang rakyat dengan projek-projek ‘syok sendiri’ sengaja mengalihkan tumpuan terhadap masalah dalaman UMNO/BN dalam menghadapi pilihanraya tersebut. Kita cabar beliau mengemukakan bukti, kalau tiada kita percaya beliau mungkin memukul diri sendiri untuk menagih simpati.

Tuduhan bahawa penyokong PAS telah diresapi budaya samseng yang kononnya dibawa oleh KEADILAN hanya sekadar dakyah palsu semata-mata. Umum mengetahui selama ini bahawa UMNO lah yang samseng, zalim dan ganas apabila berdepan dengan kebangkitan rakyat. Lihatlah apa yang telah berlaku di Perak dan Selangor, DUN Perak diceroboh dan Speaker yang sah V. Sivakumar diusung keluar secara samseng. Di Selangor pula mendiang Teoh Beng Hock mati dibawah siasatan SPRM yang menjadi kuda tunggangan samseng-samseng UMNO.

Amaran Setiausaha Pemuda UMNO Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dalam akhbar Sinar kelmarin bahawa seramai 4000 orang dari sayap pemuda UMNO akan bertindak lebih ganas di PRK Bagan Pinang menghadapi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat adalah kenyataan provokasi dan mencabar undang-undang. Kita minta pihak berkuasa Polis dan SPR menjalankan siasatan segera tanpa pilih bulu.

Rakyat sangat masak dengan karenah Pemuda UMNO. Dalam siri-siri pilihanraya yang lalu Pemuda UMNO dilihat sekadar menikus dan bersorak-sorai di tepi jalan. Kehadiran mereka hanya sekadar untuk berhibur, berpeleseran dan menghabiskan duit parti sahaja. Tahap pemikiran Pemuda UMNO sangat rendah dan memalukan. Kenyataan Megat Firdouz dan Exco Pemuda UMNO Abdul Razak Abdul Rahman kononya Pemuda UMNO telah mendapat latihan ala komando dan sedia bertempur dengan Pemuda Pakatan Rakyat hanyalah gendang kosong semata-mata. Pihak Polis dicabar siasat di mana mereka mendapat latihan dan siapa melatih mereka, sebab kita bimbang kemungkinan suatu hari nanti Pemuda UMNO berpotensi menjadi kumpulan pengganas.

Menyahut cabaran tersebut Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak akan dilancarkan secara besar-besaran pada 24 Oktober 2009 di Bandar Lumut. Pemuda PR dalam kerangka mengukuhkan Pakatan Rakyat dan bersedia menghadapi cabaran dalam pilihanraya akan datang. Bandar Lumut dipilih kerana untuk mengingatkan rakyat Perak bahawa di situlah dalang utama rampasan kuasa bersarang. Kita sedikitpun tidak bimbang dengan kekuatan palsu yang dimiliki oleh UMNO/BN. Mereka sekadar mempergunakan seluruh jentera kerajaan menghadapi Pakatan Rakyat, suatu tindakan yang terbukti pengecut dan bacul. Di Bagan Pinang SPR meminda sesuka hati peraturan berkaitan pilihanraya antaranya melarang parti yang tidak bertanding menaik bendera dan kain rentang tetapi dalam masa yang sama membiarkan jentera UMNO/BN menyebar risalah, poster dan ceramah menghentam dan memfitnah pimpinan KEADILAN dan DAP yang kononya tidak bertanding. SPR diberi amaran jangan terlebih mengampu kerana gaji anda dibayar oleh cukai yang dikutip dari rakyat.

Walau bagaimanapun Pemuda Pakatan Rakyat tidak akan mudah melatah dengan sebarang provokasi dan gangguan dari Pemuda UMNO, kita beri jaminan sekiranya Pemuda UMNO menghantar senjata atau peluru kita tetap akan menghulur sekuntum bunga tanda keamanan.

07 Oktober 2009, Kuala Kurau

Selasa, 6 Oktober 2009

JANGAN BERSANDAR KEPADA BN YANG RAPUH

oleh : Halik Zaman

KONSEP ikatan dalam Barisan Nasional (BN) di antara semua kaum, Melayu, Cina India dan lain-lain kaum di Malaysia, luarannya nampak begitu teguh, kukuh dan kuat sekali. Ketua-ketua kaum dalam BN nampak bersatu teguh. Ahli-ahli komponen BN seperti MCA, MIC dan PBS pucuk kepimpinan parti masing-masing mempunyai permasalahan dalaman yang tersendiri yang begitu serius sekali. Kepimpinan MCA di peringkat Pusat begiu bercelaru, berkocak dihempas badai bergelombang perebutan kuasa. MCA menghadapi penyakit krisis kepimpinan yang parah, terlalu mencemaskan sekali, skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang menjolok mata dan skandal seks paling memalukan, yang melibatkan timbalan presidennya.
MIC pula kepimpinannya Samy Vellu terlalu angkuh kendatipun tidak punya 'political base' di kawasan pilihanraya di seluruh Malaysia. Tidak ada satu kawasan pilihanraya pun yang kaum india mempunyai suara majoriti tanpa bersandar dai sokongan pengundi Melayu. Tanpa Barisan Nasional, MIC merupakan parti yang lemah dalam politik Malaysia. Dalam BN UMNO menjadi tunggaknya, kerana UMNO punya dasar Ketuanan Melayu, maka MIC yang tidak ada Political base itu tidak punya kedudukan yang baik.
Untuk mendapat kembali sokongan dari akar umbi kaum India para pemimpin MIC disaran mengkaji semula kedudukannya dalam BN. Satu perkara penting para pemimpin MIC perlu fikirkan bahawa presidennya Samy Vellu di mata pemimpin UMNO sudah tidak ada 'value' lagi. Ini sungguh memalukan. Parti Bersatu Sabah (PBS) pula bukanlah sebuah parti politik yang kuat di Sabah, kerana PBS kini sudah berpecah kepada tiga kumpulan iaitu PBS, UPKO dan PBRS yang mulanya semua bersatu dalam PBS. Dalam PBS sekarang pun sudah ada tanda-tanda perpecahan.
PBS sekarang ini pengaruhnya cuma bergantung kepada ketokohan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Sampai berapa lama Joseph boleh hidup? Sedang beliau kini sudah pun dimakan tua. Timbalanya pula, Datuk Dr. Maximus Ongkili ternyata cuma bersandar kepopularitiannya kepada ketokohan Joseph sahaja. Bila kita sudah faham senario politik rakan-rakan UMNO dalam BN seperti di atas, semua orang pun sudah faham kekuatan UMNO hanya bersandar kepada rakan-rankanya dalam Barisan Nasional yang kini sedang nazak.
Di mana sahaja kawasan pilihanraya yang UMNO mempunyai kekuatan 60 peratus pengundi Islam maka kawasan-kawasan tersebut kini sudah menjadi kawasan yang sudah tidak selamat lagi bagi UMNO dalam PRU 13 lantaran sayap kanan dan kirinya sudah tidak berfungsi lagi. mana tidaknya, sokongan akar umbi sudah hancur musnah dan punah. Diperingkat akar umbi MCA, MIC, Gerakan dan PPP, konsep BN sudah mula dipertikaikan. Mereka pertikaikan Ketuanan Melayu, hak orang Islam dan Bumiputera dalam BN masih ada lagi jurang perbezaan yang jauh.
Seolah-olah ahli MCA, MIC, Gerakan dan PPP yang bertaraf warganegara Malaysia itu punya kelas dua dalam negara Malaysia. pada hal tanpa undi warganegara Malaysia, UMNO tidak dapat menubuhkan Kerajaan Pusat bersendirian. Dalam Bn yang nyata dilihat oleh ahli-ahli akar umbi MCA, MIC, Gerakan dan PPP cuma ketua-ketua kaum sahaja yang bersatu. Akar umbi pengundi bawahan terus dilamun ilusi janji pilihanraya sahaja. Tanpa para pengundi, ketua-ketua kaum itu tidak boleh berperanan.
Ahli-ahli MCA, MIC, Gerakan dan PPP majoriti sudah hilang kepercayaan kepada BN maka pemimpin UMNO juga sakit kepala dengan pengundi Melayu yang sudah berpecah terbahagi tiga UMNO, PAS dan KEADILAN. Perpecahan pengundi melayu dalam UMNO akan menguntungkan Pakatan Rakyat kalau dikawasan tersebut calon KEADILAN atau PAS lawan UMNO 'satu lawan satu' tanpa ada sokongan undi pos kepada UMNO.
Kerana para pemimpin UMNO sudah sedar hakikat ini akan berlaku, maka Dato Seri Mohd Najib Razak pun main peranan 'demi Islam', demi Melayu, kita mesti bersatu dalam sebuah Kerajaan Perpaduan. Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, "cakap sahaja apa-apa syarat kami setuju, asalkan Kerajaan Perpaduan segera diwujudkan." Para pemimpin UMNO jangan ghairah dengan adanya undi pos berjumlah 5,000 di PRK Bagan Pinang.
Kalau kalah Bn satu tamparan hebat kepada Najib dan Muhyiddin dan kalau menang pun BN itu cuma kekuatan undi pos yang tidak punya nilai di mata rakyat Malaysia. Tunggul pun boleh menang kalau disokong sejumlah 5,000 undi pos. -SK