Rabu, 7 Oktober 2009

KETUA PUTERA UMNO KEMUNGKINAN PUKUL DIRI SENDIRI - YB. Yunus, Ketua AMK Perak

Laporan Ketua Putera UMNO Dato’ Azeez Rahim bahawa beliau cedera dipukul oleh penyokong PR pada hari penamaan calon PRK Bagan Pinang adalah pembohongan dan sandiwara sahaja. Beliau yang selama ini terkenal dengan gimik politik murahan, mengampu dan membodek dan membazir wang rakyat dengan projek-projek ‘syok sendiri’ sengaja mengalihkan tumpuan terhadap masalah dalaman UMNO/BN dalam menghadapi pilihanraya tersebut. Kita cabar beliau mengemukakan bukti, kalau tiada kita percaya beliau mungkin memukul diri sendiri untuk menagih simpati.

Tuduhan bahawa penyokong PAS telah diresapi budaya samseng yang kononnya dibawa oleh KEADILAN hanya sekadar dakyah palsu semata-mata. Umum mengetahui selama ini bahawa UMNO lah yang samseng, zalim dan ganas apabila berdepan dengan kebangkitan rakyat. Lihatlah apa yang telah berlaku di Perak dan Selangor, DUN Perak diceroboh dan Speaker yang sah V. Sivakumar diusung keluar secara samseng. Di Selangor pula mendiang Teoh Beng Hock mati dibawah siasatan SPRM yang menjadi kuda tunggangan samseng-samseng UMNO.

Amaran Setiausaha Pemuda UMNO Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dalam akhbar Sinar kelmarin bahawa seramai 4000 orang dari sayap pemuda UMNO akan bertindak lebih ganas di PRK Bagan Pinang menghadapi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat adalah kenyataan provokasi dan mencabar undang-undang. Kita minta pihak berkuasa Polis dan SPR menjalankan siasatan segera tanpa pilih bulu.

Rakyat sangat masak dengan karenah Pemuda UMNO. Dalam siri-siri pilihanraya yang lalu Pemuda UMNO dilihat sekadar menikus dan bersorak-sorai di tepi jalan. Kehadiran mereka hanya sekadar untuk berhibur, berpeleseran dan menghabiskan duit parti sahaja. Tahap pemikiran Pemuda UMNO sangat rendah dan memalukan. Kenyataan Megat Firdouz dan Exco Pemuda UMNO Abdul Razak Abdul Rahman kononya Pemuda UMNO telah mendapat latihan ala komando dan sedia bertempur dengan Pemuda Pakatan Rakyat hanyalah gendang kosong semata-mata. Pihak Polis dicabar siasat di mana mereka mendapat latihan dan siapa melatih mereka, sebab kita bimbang kemungkinan suatu hari nanti Pemuda UMNO berpotensi menjadi kumpulan pengganas.

Menyahut cabaran tersebut Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak akan dilancarkan secara besar-besaran pada 24 Oktober 2009 di Bandar Lumut. Pemuda PR dalam kerangka mengukuhkan Pakatan Rakyat dan bersedia menghadapi cabaran dalam pilihanraya akan datang. Bandar Lumut dipilih kerana untuk mengingatkan rakyat Perak bahawa di situlah dalang utama rampasan kuasa bersarang. Kita sedikitpun tidak bimbang dengan kekuatan palsu yang dimiliki oleh UMNO/BN. Mereka sekadar mempergunakan seluruh jentera kerajaan menghadapi Pakatan Rakyat, suatu tindakan yang terbukti pengecut dan bacul. Di Bagan Pinang SPR meminda sesuka hati peraturan berkaitan pilihanraya antaranya melarang parti yang tidak bertanding menaik bendera dan kain rentang tetapi dalam masa yang sama membiarkan jentera UMNO/BN menyebar risalah, poster dan ceramah menghentam dan memfitnah pimpinan KEADILAN dan DAP yang kononya tidak bertanding. SPR diberi amaran jangan terlebih mengampu kerana gaji anda dibayar oleh cukai yang dikutip dari rakyat.

Walau bagaimanapun Pemuda Pakatan Rakyat tidak akan mudah melatah dengan sebarang provokasi dan gangguan dari Pemuda UMNO, kita beri jaminan sekiranya Pemuda UMNO menghantar senjata atau peluru kita tetap akan menghulur sekuntum bunga tanda keamanan.

07 Oktober 2009, Kuala Kurau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan