Rabu, 3 Mac 2010

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN
NEGERI PERAK


AMK MENGUTUK PENGKHIANATAN AHLI PARLIMEN BAGAN SERAI

Berita keluar parti Ahli Parlimen Bagan Serai YB. Hj. Mohsin Fadzli b. Hj. Samsuri dari KEADILAN menyertai kelompok Bebas telah dijangka. AMK mengucap tahniah kepada pihak tertentu kerana membantu KEADILAN membersihkan najis dan sampah sarap yang selama ini mengotorkan imej KEADILAN dan Pakatan Rakyat umumnya.

Prestasi Ahli Parlimen Bagan Serai selama ini telah dipertikaikan sama ada dari pengundi-pengundi sendiri dan juga rakan-rakan pimpinan parti dan Pakatan Rakyat. Imej beliau selama ini diketahui sangat buruk, tidak turun padang, tidak serius, tidak peduli masalah rakyat, bersikap kebudak-budakan, ingkar arahan parti dan melantik pegawai-pegawai yang bertugas hanya dari kalangan anak dan isteri sahaja. Beliau sedikit pun tidak berjasa kepada parti malahan tiada sumbangan langsung yang boleh dibanggakan kepada rakyat di kawasannya.

Alasan keluar parti kerana tidak setuju dengan pendirian parti berkenaan isu ‘Kalimah Allah’ ternyata bohong dan mengelirukan. Sejak bila pula beliau telah menjadi seorang tokoh ulama besar yang membicarakan soal-soal hukum dan akidah umat Islam? Pendirian KEADILAN tentang isu ini adalah selaras dengan pandangan pucuk pimpinan PAS iaitu rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat. Beliau bercakap seolah-olah selama ini telah menjadi tokoh penting dalam parti dan pemergian beliau akan memberi kesan besar kepada parti. AMK menegaskan KEADILAN khususnya di Perak sedikit pun tidak terjejas malahan bertambah kuat dan mantap kerana ‘biawak hidup’ yang dipikul oleh parti selama ini telah tiada.

Kita percaya ini adalah komplot terancang pihak tertentu untuk melemahkan KEADILAN, merosakkan imej Dato’ Seri Anwar dan seterusnya menghancurkan Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia mengetahui bahawa UMNO / BN disaat ini sedang bergelut mencari talian hayat bagi kelangsungan kuasa mereka yang semakin terhakis. Setelah kehilangan kuasa dibeberapa buah negeri, kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, kehilangan sokongan masyarakat cina dan india dalam pilihanraya lalu dan kini mereka terpaksa menjadi bangsat menagih simpati dan sokongan rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Pendedahan skandal demi skandal dari kisah pembunuhan Altantuya, kematian Teoh Beng Hock, rampasan kuasa di Perak, isu PKFZ dan kehilangan enjin jet dan yang terakhir fitnah terhadap DSAI tidak mampu lagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihanraya akan datang. Setelah mereka gagal mengumpan rakyat dengan isu perkauman dan agama mereka tiada pilihan melainkan terpaksa memerangkap, mengugut, mendakwa atau membeli dan merasuah YB Pakatan Rakyat yang diketahui bermasalah dan terpalit dengan isu moral.

AMK Perak sekali lagi menegaskan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada KEADILAN dan kepimpinan Ketua Umum Dato’ Seri Anwar dan kita percaya segala dugaan yang menimpa akan mengangkat lebih tinggi martabat dan maruah Parti Keadilan Rakyat sebagai parti masa depan untuk rakyat Malaysia.



YB. YUNUS B. JAMHARI
KETUA AMK PERAK / ADUN KUALA KURAU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan