Isnin, 3 Ogos 2009

KELUARKAN FATWA MENGENAI ISA

SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Majlis Fatwa perlu mengeluarkan fatwa berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagaimana diminta umat Islam di negara sebelum ini. Beliau berkata, fatwa tersebut hendaklah adil, bebas daripada terikat dengan mana-mana pihak serta dapat dibahaskan secara saksama dengan kehadiran pakar perundangan, pihak berkuasa dan mangsa terlibat. Menurutnya, perbahasan yang hendak diadakan juga mencakupi kehadiran ahli-ahli politik yang bersetuju dan membantah memberikan pandangan berhubung pelaksanaan akta tersebut. "Penilaian adil perlu untuk panduan kerajaan.Malanglah jika isu pinggiran dibincang sedangkan isu besar membabitkan kepentingan umat ditinggalkan."Majlis Fatwa Kebangsaan menggunakan wang awam, maka pastikan faedahnya balik kepada awam secara jelas," katanya dalam satu kenyataan semalam. Sebelum ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan juga Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), masing-masing merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah dan menyokong undang-undang ISA, merancang mengadakan perhimpunan esok walaupun tidak mendapat kelulusan pihak polis.Dr. Asri berkata, mesyuarat Majlis Fatwa yang biasanya berlangsung di hotel-hotel besar perlu mengeluarkan pandangan hebat untuk kemaslahatan umum. Katanya, sebelum ini pelbagai pendapat telah dikeluarkan berhubung akta tersebut dan adalah mustahil Majlis Fatwa tidak peka dengan apa yang berlaku."Saya secara peribadi semasa menjadi mufti telah mengeluarkan pandangan di beberapa tempat."Media tempatan telah berulang kali menyiarkannya. Kali ini kita menuntut pandangan rasmi agensi agama Kerajaan Pusat pula," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan