Isnin, 31 Mei 2010

'Eksploitasi isu untuk alih perhatian rakyat'

Salhan K Ahmad May 29, 10 7:48pm

Seorang perwakilan kongres nasional PKR hari ini meminta parti itu supaya mengeksploitasi isu semasa supaya dapat mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah yang dihadapi parti.

Wakil Perak Abdul Yunus Jamhari membuat cadangan itu supaya masyarakat dapat mengubah pandangan mereka bahawa PKR sedang mengalami "masalah serius."

"Ketika ini banyak isu yang berkaitan dengan hal politik yang agak panas, contohnya isu konspirasi kedua tehadap ketua umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga kes kematian Aminul Rashid (ditembak polis).

"Kita minta biro strategi atau penerangan supaya dapat 'spin' isu ini supaya ia dapat menarik perhatian rakyat.

"Isu ini juga ada kaitan lebih dekat dengan orang Melayu, jadi minta supaya pihak berkenaan dapat kembangkan isu ini.

"Sekurangnya (usaha itu) dapat alihkan isu terhadap parti kita, contohnya kes mahkamah (ketua umum) supaya rakyat ubah persepsi bahawa kita alami masalah serius," katanya lagi ketika membahaskan usul urus tadbir dalam kongres parti itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau yang juga ADUN Kuala Kurau turut mencadangkan supaya parti tersebut mengadakan latihan bagi mendedahkan golongan itu kepada ideologi parti.

"Saya cadangkan pihak pengurusan parti dapat adakan tindakan yang lebih cekap dan tersusun dalam menarik sokongan rakyat untuk sertai PKR.

"Ahli baru harus diberi pendedahan mengenai ideologi parti supaya mereka faham ini bukan tempat untuk dapatkan habuan atau projek

"Selepas kemenangan lalu (Mac 2008), kita tengok ramai yang sertai parti kita. Tapi bila mereka tidak dapat apa yang dihajati mereka keluar semula," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan tindakan keluar parti oleh wakil rakat parti itu sebelum ini sebagai satu proses pembersihan dan juga kematangan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan