Selasa, 4 Januari 2011

KONTRAKTOR PEMBINAAN ASRAMA SMA AL-HIDAYAH PARIT ABAS TIDAK BERTANGGUNGJAWAB





1. Rata-rata penduduk kampung Parit Abas Kuala Kurau melahirkan rasa dukacita kerana jalan yang mereka gunakan setiap hari mengalami kerosakan teruk akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak kontraktor yang melaksanakan pembinaan asrama sekolah di kampung berkenaan.

2. Projek pembinaan asrama sekolah itu telah hampir setahun berjalan dan difahamkan terletak di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Kontraktor yang melaksanakan projek tersebut ialah Pembinaan Mahanor yang berpangkalan di Jelapang, Ipoh Perak.

3. Ketika pembinaan giat berjalan lori-lori dan jentera berat hampir setiap hari menggunakan jalan tersebut sehingga mengakibatkan jalan di kampung berkenaan rosak teruk hampir 1 kilometer bermula dari SMA Al-Hidayah hingga ke asrama baru sekolah yang masih dalam proses pembinaan.

4. Kampung Parit Abas adalah kampung yang padat dengan penduduk. Terdapat 2 buah sekolah, sebuah masjid dan 3 surau berhampiran kampung berkenaan justeru itu jalan tersebut menjadi laluan utama oleh penduduk menjalankan urusan seharian baik dari kalangan penduduk kampung, guru-guru, para pelajar dan golongan pekerja.

5. Ketika musim hujan keadaan jalan menjadi bertambah teruk. Jalan yang berlopak-lopak menakung air dan menjadi becak sehingga menyusahkan orang ramai, membahayakan keselamatan pelajar dan juga merosakkan kenderaan penduduk.

6. Penduduk telah lama bertolak ansur dan semakin hilang sabar dengan sikap kontraktor yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka seolah-olah berlepas tangan berkenaan masalah jalan rosak yang dihadapi oleh penduduk sedangkan jalan tersebut menjadi rosak akibat kerja-kerja pembinaan yang mereka lakukan.

7. Penduduk juga kesal seolah-olah tiada pemantauan daripada pihak Pejabat Daerah Kerian, Penghulu Mukim serta Ketua Kampung dan JKKK yang sepatutnya turut bertanggungjawab memelihara kepentingan orang ramai di kampung terbabit.

8. Berikutan itu bekas ketua kampung Parit Abas En. Ishak b. Yunus telah membuat aduan kepada Wakil Rakyat Kuala Kurau iaitu YB. Abdul Yunus b. Jamhari tentang masalah yang mereka hadapi. YB memaklumkan bahawa masalah tersebut telah diajukan kepada pihak Pejabat Daerah Kerian dan pihak JKR. Pejabat Daerah Kerian memaklumkan jalan di kampung berkenaan akan diturap semula setelah proses pembinaan asrama tersebut selesai.

9. Pagi ini 4 Januari 2011 YB bersama Pegawai JKR Kerian serta wakil penduduk telah melawat lokasi berkenaan. Pihak JKR atas budi bicara sedia membantu penduduk membaiki jalan berkenaan buat sementara ini dengan menurap batu kasaran walaupun dimaklumkan bahawa jalan di kampung berkenaan bukan dibawah bidang kuasa mereka.

10. YB menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk. Penduduk mengalu-alukan sebarang projek pembangunan di kampung mereka tetapi dalam masa yang sama kebajikan dan kepentingan mereka mesti diutamakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan