Rabu, 16 Jun 2010

Banjir Kilat Di Taman Piandang Indah Pada 16 Jun 2010

1. Hujan yang lebat pada lewat petang hari ini walaupun hanya seketika telah menyebabkan banjir kilat di sekitar Taman Piandang Indah dan Klinik Kesihatan Tanjong Piandang.

2. YB. Yunus, ADUN Kuala Kurau bersama Setiausaha Majlis Daerah Kerian Encik Mohamad Razif b. Ramli bergegas ke lokasi terbabit bagi meninjau keadaan banjir di sana dan meluangkan masa hampir 1 jam.

3. Kita melawat di sekitar premis perniagaan, taman perumahan, klinik kesihatan dan pekan Tanjong Piandang bersama dengan beberapa orang penduduk.

4. Masalah banjir kilat di kawasan berkenaan sebenarnya telah berlarutan sejak sekian lama iaitu kira-kira hampir 5 tahun dan sehingga hari ini pihak yang berwajib masih gagal menangganinya.

5. Antara punca yang dikenal pasti yang menyebabkan banjir kilat ialah parit besar yang berada di hadapan taman dan klinik tersebut tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila air laut pasang di mana air hujan tidak dapat mengalir keluar ke laut.

6. YB. Yunus sebelum ini telahpun mengajukan masalah ini ke pengetahuan pihak Pejabat Daerah, MDK, JKR, JPS dan IADA Daerah Kerian malahan dalam sidang DUN yang lepas serta Mesyuarat Tindakan Daerah perkara ini turut dibangkitkan.

7. Walaupun masalah ini belum selesai berbagai usaha akan terus dijalankan bersama dengan agensi-agensi yang terbabit bagi mencari jalan mengatasi banjir kilat. Kita sedang mencari jalan bagaimana untuk mengalirkan air hujan ke kawasan yang bersesuaian bagi mengurangkan kesan banjir kilat.

8. Kesusahan yang dihadapi oleh penduduk bukan sahaja rumah mereka digenangi air malahan turut merosakkan harta benda serta barang-barang perniagaan mereka. Urusan seharian turut tergendala apabila jalan-jalan utama turut ditenggelami air.

9. Kita menyeru supaya penduduk dapat terus bersabar dan sedia memberi kerjasama dan buah fikiran bagi menyelesaikan masalah ini. Kita juga menyeru supaya pihak Majlis Daerah Kerian terutamanya lebih serius dalam menangani masalah ini kerana Taman Piandang Indah terletak di bawah bidang kuasa mereka.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan