Rabu, 23 Jun 2010

UMNO BOIKOT MAJLIS PERASMIAN PEJABAT PERTANIAN KAWASAN TANJONG PIANDANG

Pihak UMNO Parit Buntar dan ADUN Alor Pongsu iaitu YB. Sham b. Mat Sahat dikatakan telah memboikot majlis perasmian bangunan baru Pejabat Pertanian Kawasan Tanjong Piandang dan Hari Ladang Jabatan Pertanian Peringkat Daerah Kerian yang telah disempurnakan oleh Encik Ariffin b. Abdul Latif iaitu Pengarah Pertanian Negeri Perak pada hari selasa, 1 Jun 2010 yang lalu.

Mereka dikatakan tidak berpuas hati kerana pihak jawatankuasa penganjur telah menjemput wakil rakyat dari Pakatan Rakyat pada majlis berkenaan yang telah dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Kuala Kurau, ADUN Titi Serong, ADUN Selinsing dan ADUN Gunung Semanggol.

Mereka yang terlibat memboikot program berkenaan ialah ADUN Alor Pongsu, Wakil Menteri Besar bagi Kawasan Kuala Kurau dan Titi Serong dan juga Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar. Kita juga merasa kesal kerana tidak kelihatan kelibat Penghulu Mukim Tanjong Piandang dan Pengerusi-Pengerusi JKKK yang sepatutunya menyambut kehadiran Pegawai Daerah Kerian pada majlis berkenaan.

Tindakan yang diambil menunjukkan bahawa pihak UMNO telah membelakangkan kepentingan golongan petani dan peladang di kawasan ini yang rata-ratanya dari kalangan orang-orang melayu. Mereka juga seolah-olah tidak menghormati pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas secara profesional dan berfikiran terbuka.

Kita juga mendapat laporan bahawa pihak UMNO akan mengambil tindakan membalas dendam dengan menukarkan beberapa orang pegawai dari Jabatan Pertanian yang telah mengundang wakil Pakatan Rakyat hadir pada program berkenaan. Kita menasihatkan pihak UMNO supaya tidak berlaku zalim kepada kakitangan kerajaan kerana mereka hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan semata-mata.

Sikap seperti inilah yang telah menyebabkan UMNO dibenci dan ditolak oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lalu dan sekiranya mereka tidak berubah tidak mustahil dalam pilihanraya akan datang mereka akan kehilangan kuasa politik di semua peringkat.

Kita mengucapkan syabas kepada pihak Pejabat Pertanian Daerah Kerian kerana telah berjaya membina bangunan baru yang lebih selesa demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada golongan petani dan peladang terutamanya di kawasan Tanjong Piandang dan Kuala Kurau. Mudah-mudahan dengan kerjasama dari semua pihak nasib golongan petani dan peladang akan lebih terbela.

Pada majlis berkenaan pihak Jabatan Pertanian Daerah Kerian mengadakan gerai pameran yang turut disertai beberapa syarikat dan penduduk tempatan yang memasarkan beberapa produk berkaitan pertanian dan perladangan.

Majlis berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan di mana kehadiran penduduk dari kalangan petani dan peladang sekitar 500 orang. Program bermula seawal 9.00 pagi dan berakhir kira-kira 12.00 tengah hari.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan