Rabu, 2 Jun 2010

UMNO Dahulukan Judi

1. Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Dato’ Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi bolasepak sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan umat Islam di negara ini.

2. Berikutan itu kerajaan UMNO-BN telah meluluskan pemberian lesen judi berkenaan kepada seorang kroni mereka yang terkenal iaitu Vincent Tan yang turut menguasai lesen perjudian Sport TOTO. Ini membuktikan bahawa UMNO-BN telah mendahulukan judi dan mengetepikan soal hukum serta pandangan orang ramai.

3. Alasan kerajaan untuk mengawal perjudian haram dan sekadar digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan adalah hujah yang dangkal. Malapetaka judi adalah lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

4. Peranan pemerintah adalah mencegah kemungkaran bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Kelulusan tersebut hanya mengubah ‘taukeh’ sahaja dari yang tidak berlesen kepada berlesen.

5. Cabaran UMNO dan PERKASA supaya Pakatan Rakyat menutup premis-premis perjudian di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat hanyalah cubaan mengalihkan isu.

6. Hakikatnya premis judi yang banyak di negeri Pakatan Rakyat termasuk di Selangor dan Pulau Pinang adalah ‘najis’ peninggalan UMNO-BN sewaktu mentadbir negeri-negeri berkenaan.

7. Pakatan Rakyat merasa kesal dan kita sedang berusaha untuk membersihkan dan mendidik masyarakat agar meninggalkan budaya buruk yang ditanam oleh UMNO-BN selama ini.

8. Judi adalah haram di sisi islam. Semua agama dan budaya dari semua zaman menolak judi. Tabiat berjudi mengakibatkan keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Judi adalah budaya orang jahat dan anti sosial.

9. Pakatan Rakyat bimbang suatu hari nanti mungkin kerajaan akan menghalalkan dan melesenkan pula tempat menghisap candu, pelacuran, penyeludupan dan jenayah lain sekiranya hujah berkenaan diguna pakai.

10. Justeru itu Pakatan Rakyat membantah dan menuntut kerajaan membatalkan segera kelulusan lesen perjudian tersebut. Marilah kita sama-sama menolak bagi menumbangkan kerajaan UMNO-BN dalam pilihanraya umum akan datang bagi mengelakkan negara ini menuju kehancuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan